KAPIT, 29 Sept: Seorang lelaki cedera tangan dan patah kaki kanan selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan kereta di Tatai Kenyalang, Jalan Selirik di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Budiman Salbia berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 8.18 malam dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.
“Pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki tidak mengalami kecederaan, manakala pembonceng motosikal masih sedar namun mengalami kecederaan pada tangan dan patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota EMRS memberi rawatan awal serta menstabilkan mangsa dibantu oleh anggota yang lain memasang cervical colar pada leher mangsa, upper limb dan lower limb dipasang pada tangan dan kaki mangsa.
“Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya. – TVS