KUCHING, 29 Sept: Kejayaan kontinjen Sarawak merampas kembali kejuaraan keseluruhan Para SUKMA merupakan momen begitu manis apatah lagi berjaya dilakar di tanah air tercinta, Bumi Kenyalang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, segala penat lelah dan komitmen tidak berbelah bahagi atlet, jurulatih, ibu bapa dan semua pihak terlibat terbalas apabila kontinjen Sarawak menjuarai Para SUKMA buat kali ke-14.
Menurutnya, langkah seorang juara bermula dengan diri sendiri dan atlet membuktikan pengorbanan mereka bukan sesuatu yang sia-sia.
“Di saat anda menanam impian untuk menjadi seorang atlet, momen itulah merupakan detik permulaan satu kejayaan, sebab anda mempunyai seribu sebab untuk tidak mengorak langkah ke peringkat yang seterusnya, kerana anda tahu anda akan mendepani banyak rintangan, cabaran serta keperitan dalam menempuh perjalanan ini, tetapi anda tidak pernah berputus asa, malah semakin bersemangat untuk menempa kejayaan.
“Anda tanamkan tekad untuk meneruskan latihan dan mengikut segala tunjuk ajar jurulatih untuk menjadi seorang juara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Perjalanan Kontinjen Sarawak sempena Para SUKMA XXI di Hotel Imperial Kuching hari ini.
Kontinjen Sarawak mengesahkan kejuaraan keseluruhan Para SUKMA XXI selepas merangkul 82 pingat emas, 51 perak serta 72 gangsa dan merampas kembali takhta kejuaraan daripada juara bertahan, Sabah.
Kontinjen Sabah berada di kedudukan kedua dengan memungut 62 pingat emas, 42 perak dan 32 gangsa, sementara kontinjen Johor di tempat ketiga dengan kutipan 33 pingat emas, 35 perak dan 29 gangsa.
Untuk rekod, Sarawak telah lama mendominasi Para SUKMA apabila bergelar juara sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak. Manakala kontinjen Sabah pula muncul juara keseluruhan pada temasya Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.-TVS