KUCHING, 29 Sept: Haiwan peliharaan seperti kucing dilihat lebih berisiko dijangkiti rabies dan perlu menerima suntikan vaksin dengan segera.
Menurut Doktor Veterinar, Kelvin Chung Yan Chai, pemilik kucing dinasihatkan agar memberi suntikan vaksin anti-rabies kepada haiwan peliharaan mereka itu sebagai langkah pencegahan awal untuk mengelak dijangkiti wabak berkenaan.
“Kita mendapati banyak kes kucing dijangkiti rabies. Jika haiwan ini dijangkiti rabies, ia akan bertindak lebih agresif, bergerak dan menyerang dengan cepat.
“Kemudian, apabila dijangkiti, virus ini mudah menjangkiti manusia atau anjing. Oleh sebab itu, kami ingin mempromosikan program vaksinasi kepada pemilik kucing dalam mengelakkan sebarang jangkitan berkaitan rabies,” katanya ketika ditemui TVS pada Program Vaksinasi Rabies sempena Hari Rabies Sedunia di Klinik Veterinar PM, MJC Batu Kawa Kuching, pada Ahad.
Sehubungan itu, Kelvin memaklumkan jangkitan rabies pada haiwan seperti kucing turut memberi kesan buruk kepada manusia dan haiwan lain kerana dapat menimbulkan gejala buruk sehingga menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat.
Individu atau haiwan yang dijangkiti rabies biasanya mengalami gejala-gejala seperti pergerakan ganas, keseronokan yang tidak terkawal, ketakutan air, ketidakupayaan untuk memindahkan bahagian badan, kekeliruan, dan kehilangan kesedaran.
Katanya, apabila gejala-gejala ini muncul, pesakit akan menghampiri kritikal yang selalunya terarah kepada kematian.
Tegasnya, jangkitan kucing rabies boleh dicegah sekiranya mendapat suntikan vaksin dan rawatan awal sebelum dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sebenarnya, vaksinasi dapat membantu menyelamatkan lebih ramai nyawa termasuklah haiwan peliharaan kita. Jadi, vaksinasi sangat mudah, hanya perlu melakukan vaksinasi setiap tahun dan sekali sebulan.
“Jadi, selepas vaksinasi, antibodi tidak menyerap dengan serta-merta. Kamu perlu menunggu selama kira-kira selama empat minggu sehingga antibodi kucing beredar di dalam salur darah sepenuhnya. Selepas vaksinasi, kucing akan bebas dan kembali seperti biasa,” katanya lagi.
Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, dia menyeru agar pemilik kucing sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan kucing peliharaan mengambil suntikan anti-rabies.
Ujarnya, program vaksinasi ini disifatkan sebagai medium untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat agar cakna dengan bahaya rabies selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak dalam menghapuskan wabak itu menjelang 2030.
Program anjuran kerjasama Transaid Solutions Sdn Bhd dan Tea FM yang dijalankan hari ini telah menawarkan sebanyak 100 suntikan vaksin secara percuma bagi mencegah jangkitan rabies. -TVS