KAPIT, 29 Sept: Kestabilan di peringkat Kerajaan Pusat menjadi kunci utama pembangunan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak berjalan dengan jayanya, tegas Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurut Menteri Kerja Raya itu, dua pemimpin utama iaitu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Sarawak) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Persekutuan) mempunyai kekuatan masing-masing dalam memimpin wilayah ini dan negara.
“Kedua-dua tokoh ini dilihat gah berganding baharu memimpin dan memberi tunjuk ajar kepada semua kita yang diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat dan menteri sama ada di dalam bidang politik, tugasan di dalam kerajaan sereta bidang-bidang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Bahagian Kapit di Rumah Robert Nanga Sebatu di sini, hari ini.
Nanta yang merupakan Ahli Parlimen Kapit itu menjelaskan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama serta latar belakang menjadi elemen dan ramuan penting bagi meneruskan agenda pembangunan di negara ini.
“Justeru, kita yang tinggal di Bahagian Kapit, di Sarawak ini di bawah pimpinan Abang Johari perlu menunjukkan semua nilai-nilai positif ini bagi memudahkan wakil rakyat dan para pemimpin tempatan menjalankan tugas mereka membawa pembangunan kepada kita semua,” jelasnya. -TVS