KAPIT, 29 Sept: Keperluan untuk meningkatkan jumlah Ahli Parlimen bagi Sarawak dan Sabah kepada 35 peratus adalah penting dalam mempertahankan asas penubuhan negara ini melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Suruhanjaya Cobbold 1962.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia selari dengan penubuhan negara Persekutuan yang memerlukan kestabilan politik untuk terus membangun dan pada masa sama, dapat menyanjung tinggi persetujuan yang dilaksanakan pemimpin terdahulu.
“Jadi, saya baharu sahaja bercakap mengenai perkara melibatkan 35 peratus perwakilan Parlimen (Sarawak dan Sabah) kerana dalam Suruhanjaya Cobbold iaitu perlindungan kepada semua budaya, agama dan bahasa.
“Dulu, kita terdiri daripada Singapura, Sabah dan Sarawak yang lebih daripada satu pertiga. Sebab itu, saya mohon kepada Perdana Menteri untuk memberikan kerusi berkenaan (satu pertiga) kerana apabila Singapura keluar Malaysia, ia diberikan kepada Semenanjung Malaysia.
“Kongsilah dengan Sabah dan Sarawak kerana ia selari laporan Suruhanjaya Cobbold, bukan kerana kita mahu, tetapi hanya mahu ia dipinda kepada satu pertiga,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit yang diadakan di Dewan Suarah Kapit di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, jika Sarawak dan Sabah memiliki kerusi dalam Parlimen sebanyak satu pertiga, maka perjanjian asas yang utuh akan dapat dilaksanakan.
“Jadi, kita dapat membangunkan pemimpin kita dan boleh juga berpandangan jauh.
“Sebab itu, Perdana Menteri selalu berkata, jangan jadi tebu yang mulanya manis dan apabila habis manisnya, tinggal pahit sahaja yang keluar. Tetapi, Alhamdulillah, semuanya masih manis,” jelasnya.
Tambah Abang Johari, dasar ekonomi baharu termasuk ekonomi hijau Sarawak yang dirancang di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 mampu melonjak ekonomi negeri ini untuk menjadi seperti Bavaria di Jerman. – TVS