KUCHING, 29 Sept: Kapasiti Loji Rawatan Air Kaki Wong akan ditingkatkan daripada 30 Juta Liter Air Sehari (MLD) kepada 60 MLD bagi menambah dan menstabilkan bekalan air terawat di daerah Saratok dan kawasan sekitarnya, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
“Hari ini saya mengadakan lawatan kerja di tapak Loji Rawatan Air Kaki Wong Saratok. Loji ini boleh menghasilkan air terawat dan bersih sebanyak 30 MLD dengan operasi 24 jam.
“Sumber air mentah adalah dari Sungai Krian. Sehingga kini kita mempunyai 12,583 sambungan meter oleh pengguna di daerah Saratok serta dari Debak dan Pusa,” katanya.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja di Loji Rawatan Air Kaki Wong, Saratok bagi melihat proses kerja yang dijalankan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan empangan yang sedang dibina di Sungai Krian hampir siap sepenuhnya bagi membolehkan kerja menambah dan meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air Kaki Wong kepada 60 MLD.
“Loji Rawatan Air Kaki Wong dipertingkat, ia akan menjadi loji utama selain loji rawatan di Lubau dan beberapa loji kecil di Meludam, Pusa, Spaoh dan Lichok di Bahagian Betong.
“Semuanya adalah sebahagian daripada pelan induk bekalan air Sarawak yang sedang kita laksanakan sekarang berdasarkan kelulusan oleh Kerajaan Sarawak menggunakan bajet Sarawak sendiri,” ujarnya.
Tegasnya, pihaknya telah meluluskan peruntukan bagi mengganti paip uzur dan menaik taraf saiz paip di seluruh Bahagian Betong.
Sementara itu, semua loji dan jajaran paip di Bahagian Betong akan membentuk sebahagian daripada sistem grid air Sarawak yang sedang dilaksanakan sekarang menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak .
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Che Kadir, ADUN Krian, Friday Belik, ADUN Kelaka Muhammad Duri, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Awang Fadillah Awang Reduan, Jurutera JBALB Bahagian Betong, Tay Chiaw Teck, Dato Al Hadi Ibrahim daripada Konsultan Konsortium Malaysia serta jurutera, dan pegawai-pegawai kanan daripada kementerian, agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan.-TVS