SERIAN, 29 Sept: Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki kemalangan kendiri di Jalan Pan Borneo, Serian-Balai Ringin hari ini.
Komander Operasi, Sim Mui Chai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.33 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Serian ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Pesona.
“Dua mangsa iaitu seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang cedera dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapat rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kanak-kanak lelaki berada ditempat duduk belakang berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dengan mengumpil pintu menggunakan ‘crowbar’.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-TVS