MIRI, 29 Sept: Kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju jelas untuk membangunkan kawasan utara wilayah ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia melibatkan projek pembinaan jalan perhubungan yang akan menghubungkan wilayah utara Sarawak.
“Sekarang kita melaksanakan pembinaan jambatan yang menghubungkan Miri dengan Marudi, kalau tidak kita terpaksa menggunakan feri dan jambatan ini akan siap hujung tahun ini.
“Selepas itu, Marudi akan dihubungankan dengan seluruh kawasan Long hingga ke Long Terawan, peruntukan ditanggung Kerajaan Sarawak berjumlah RM2 bilion dan ia akan siap dalam masa empat tahun,” katanya.
Abang Johari menjelaskan, laluan tersebut juga dihubungkan dengan jalan menuju ke Limbang dari Miri dengan melalui negara Brunei Darussalam.
“Kita mengambil alih dan melaksanakan projek ini supaya dapat meneruskan hubungan baik antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Jalan Pesisiran Pantai dari Limbang ke Lawas juga akan dibangunkan,” ujarnya.-TVS