KAPIT, 29 Sept: Gandingan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat sebagai satu gandingan ‘Segulai Sejalai’, kata Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menteri Kerja Raya itu berkata, ia diterjemahkan melalui penglibatan dan usaha secara serius kedua-dua pemimpin itu dalam meneroka teknologi baharu serta memegang utuh aspek kesejahteraan rakyat yang tidak berbelah bahagi.
“Contoh ringkas, kalau di Sarawak kita ada agensi yang memantau perkembangan kawasan pedalaman, di peringkat Persekutuan pula, inisiatif memperbaiki sekolah daif, tandas sekolah, bantuan sara hidup kepada golongan yang memerlukan dan lain-lain, turut diberi perhatian serius.
“Terkini, isu jalan raya rosak juga turut diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit yang diadakan di Dewan Suarah Kapit di sini, hari ini.
Jelas Nanta, gandingan Anwar Ibrahim dan Abang Johari turut menyentuh aspek kemanusiaan tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, beliau turut berkesempatan untuk meminta Perdana Menteri dan Premier agar mempertimbangkan pembinaan jalan dari Samaram ke Kapit yang mempunyai jarak sejauh 72 kilometer (km).
“Selain menyediakan kemudahan jalan raya, pembinaan jalan berkenaan juga sekali gus dapat mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar Kapit,” ujarnya. – TVS