MIRI, 29 Sept: Minat membaca dan kreativiti dalam kalangan kanak-kanak perlu dipupuk sejak usia muda kerana ia merupakan asas penting dalam melakar masa depan Sarawak yang lebih gemilang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, generasi muda Sarawak dapat dibentuk menjadi individu yang kreatif dan inovatif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Kehadiran kita menandakan sokongan yang sangat kuat kepada potensi anak-anak kita. Sebenarnya, kita melakarkan masa depan anak kita dan juga masa depan Sarawak.
“Program ini sebenarnya adalah satu daripada usaha untuk melahirkan generasi muda yang berfikiran kreatif dan inovatif serta memperkenalkan sastera kepada anak-anak dan juga meningkatkan minat mereka terhadap membaca,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sempena Festival Sastera Kanak-Kanak Sarawak hari ini.
Festival yang berlangsung selama dua hari mulai 28 hingga 29 September 2024 berjaya dilaksanakan dengan kerjasama antara Pustaka Negeri Sarawak dan 60 rakan pintar dari pelbagai sektor kerajaan, swasta, persatuan, dan individu.
Pelbagai aktiviti menarik seperti sesi bacaan interaktif dan pertandingan bercerita disusun bagi meningkatkan literasi awal dalam kalangan kanak-kanak.
“Kita sangat menggalakkan penganjuran festival seperti ini untuk masa-masa yang akan datang. Melalui festival ini, kita berharap ia dapat melahirkan warga Sarawak yang berilmu,” tambah Rosey.
Festival ini telah menggalakkan anak-anak untuk meneroka pelbagai aspek dunia sastera dan menambah minat mereka terhadap pembacaan. -TVS