KUCHING, 29 Sept: Keperluan untuk menyediakan balai bomba di sepanjang laluan pesisir yang akan siap kelak adalah suatu perkara yang kritikal sebagai langkah-langkah pencegahan dan keselamatan di kawasan tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, dua tapak tanah telah dikenal pasti bagi pembinaan sekurang-kurangnya dua balai bomba sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan apabila laluan trafik bagi jalan pesisir meningkat.
Katanya, pihaknya berharap agar Premier Sarawak dapat mempertimbangkan dua tapak yang dicadangkan agar kertas kerja kepada agensi terlibat dapat disegerakan sama ada untuk memulihkan salah satu ataupun membina dua balai baharu di kedua-dua tapak itu.
“Kita tahu bahawa sepanjang laluan pesisir itu apabila jambatan siap dan juga trafik kita jangka meningkat keperluan untuk mengadakan pili bomba di sana adalah suatu perkara yang kritikal jadi mengambil kira itu kita telah mengenal pasti dua tapak untuk kita membuat pengambilan tanah.
“Kita harap Premier akan pertimbangkan tapak yang kita akan cadangkan bagi kita letakkan kertas kerja kepada pihak agensi pusat untuk memulihkan salah satu ataupun kedua-dua tapak itu kita bina balai bomba bagi kita hadapi isu sebarang kemalangan yang berlaku di kawasan laluan pesisir kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Program Bomba Sarawak Outreach “Towards A Resilient Community” di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua No 4 di Kuching pada Ahad.
Tambahnya, Sarawak merupakan negeri yang tertinggi dalam rekod untuk penganjuran pelbagai program bersama pihak bomba.
Jelasnya, pelaksanaan program-program tersebut secara langsung telah meningkatkan semangat kesukarelawan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.
“Saya juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas yang telah diberikan kepada semua program yang kita laksanakan di Sarawak.
“Program di Sarawak tidak hanya menggunakan peruntukan pusat tetapi juga peruntukan negeri melalui peruntukan yang berhormat dan juga melalui sumbangan pihak swasta khususnya Yayasan Farley, Petronas dan Petros,” jelasnya. -TVS