MIRI, 29 Sept: Teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) menjadi tarikan utama pengunjung Program Madani Rakyat 2024 di perkarangan Boulevard Mall.
Ia merupakan konsep baharu yang menghadirkan perasaan teruja dalam kalangan masyarakat berbilang kaum untuk mendalaminya.
Salah seorang pengunjung, Cassidy Marieng,41, berkata, dia dan keluarga teruja dapat hadir ke program besar seperti itu.
“Program ini sangat besar dan menarik terutama di Sarawak. Sebelum ini, kita hanya mendengar tentang AI di Kuala Lumpur tetapi kini ia sampai di Miri.
“Ia sangat menarik dan membuatkan kita ingin tahu mengenainya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, AI menjadi tumpuan sepanjang program tersebut dan ia dilihat sebagai langkah penting untuk masa depan terutama melibatkan generasi muda.
“Saya rasa AI lebih penting utnuk masa depan anak-anak kita. Untuk kita yang berusia, mungkin ia agak lambat,” ujarnya.
Cassidy berharap program seperti itu diteruskan pada masa akan datang.
“Program ini amat bagus dan perlu diteruskan, kalau boleh diadakan setiap tahun.
“Kita dapat menikmati dan mengenali agensi kerajaan dan mendapatkan informasi lebih tepat tentang agensi kerajaan,” jelasnya.-TVS