KUCHING, 29 Sept: Sebanyak 166 tapak jualan bakal ditawarkan di sepanjang Lebuh Java dan Jalan Gambier dari 25 hingga 27 Oktober dan 1 hingga 3 November sempena Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak serta Regata Sarawak.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam satu kenyataan memaklumkan, tapak jualan itu akan menyediakan pelbagai kategori jualan yang pastinya bakal memeriahkan acara terbesar itu.
“Sebanyak 72 buah tapak bagi jualan tekstil, aksesori, permainan kanak-kanak dan lain-lain, manakala tapak jualan makanan dan minuman sebanyak 70. Selain itu, terdapat sepuluh tapak jualan untuk makanan (panggang) dan 14 ‘food truck’ disediakan.
“Bayaran RM 160.00 sepetak akan dikenakan untuk tempoh enam hari tersebut. Para penjaja dikehendaki menggunakan meja, kerusi dan kanopi biru sendiri dengan ukuran 10’ x 10’ semasa menjalankan aktiviti perniagaan bagi memastikan keseragaman serta memudahkan kerja-kerja susun atur dilakukan,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, permohonan petak jualan secara atas talian akan dibuka pada 4 Oktober bermula jam 9 pagi hingga 4 petang menerusi pautan di laman sesawang DBKU.
Bagi memudahkan pemakluman keputusan permohonan, setiap pemohon dikehendaki untuk memuat naik dokumen yang telah ditetapkan dan turut diingatkan untuk mengemukakan nombor telefon dan e-mel yang sah.
Dimaklumkan bahawa pemohonan yang diterima akan ditapis terlebih dahulu melalui proses saringan dokumen dan undi masuk.
Justeru, hanya permohonan yang lengkap dan berjaya akan dihubungi untuk menghadiri sesi taklimat, membuat pembayaran dan cabutan nombor petak pada 15 Oktober bertempat di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang.
Pemohon boleh membuat semakan status permohonan melalui laman sesawang DBKU pada 11 Oktober bermula jam 2 petang.
Bagi sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955.-TVS