KUCHING, 28 Sept: Rabies kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Sarawak sejak ia mula merebak pada 2017.
Setakat ini, sebanyak 81 jangkitan yang melibatkan manusia membawa kepada 74 kematian.
Pada tahun ini, sebanyak enam kes baharu direkodkan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, salah satu langkah paling berkesan untuk memerangi rabies ialah vaksinasi besar-besaran.
“Pemvaksinan anjing bukan sahaja langkah perlindungan untuk haiwan peliharaan kita tetapi langkah penting dalam melindungi kesihatan awam.
“Memandangkan anjing adalah haiwan utama virus rabies di negeri ini, kita akan memastikan pemberian vaksin hendaklah diberikan kepada haiwan berkenaan bagi mengurangkan risiko penularan kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datu Dr Adrian Susin Ambud sempena meraikan Hari Rabies Sedunia, di sini, hari ini.
Bertemakan Memecah Sempadan Rabies, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak komited memerangi penyakit yang boleh dicegah itu melalui vaksinasi besar-besaran, kempen kesedaran dan tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan.
Menurut Dr Rundi, pelesenan anjing bukan sekadar keperluan undang-undang tetapi ia adalah komponen penting dalam pemilikan haiwan peliharaan di bawah peraturan penguatkuasa tempatan yang mana semua pemilik anjing mesti melesenkan haiwan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ini membantu mengurus populasi anjing dan menjejaki status vaksinasi haiwan tersebut bagi mengekang penularan rabies.
“Ketidakpatuhan boleh mengakibatkan denda, tetapi yang lebih utama adalah ia menghalang usaha kita untuk memastikan persekitaran yang selamat bagi masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Adrian berkata, pihaknya amat komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program pemvaksinan anjing dan pemantauan manakala penguatkuasaan pelesenan anjing bertuan akan dilakukan PBT serta kempen kesedaran secara berterusan.
Menurutnya, kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat termasuk pemilik haiwan, NGO dan semua agensi kerajaan membantu dalam usaha memerangi wabak tersebut.
“Bagi pemilik haiwan dan tanggungjawab anda amatlah besar. Pemberian vaksin secara tahunan adalah langkah utama untuk memastikan haiwan peliharaan anda bebas daripada penyakit rabies.
“Selain itu, masyarakat juga perlu berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya terkena gigitan haiwan, lebih-lebih lagi jika gigitan tersebut melibatkan anjing liar yang tidak diketahui status kesihatannya,” jelasnya.
Sempena Hari Rabies Sedunia, beliau menyeru pemilik anjing melesenkan haiwan peliharaan selain memastikan haiwan peliharaan diberi vaksin.
Komitmen tersebut bukan sahaja melindungi haiwan tetapi menyumbang kepada kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), UPKS, UKAS, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan SSPCA bekerjasama menjalankan kempen vaksinasi secara menyeluruh serta menggesa pemilik anjing untuk mengambil bahagian secara aktif bagi memerangi rabies dan mengekalkan persekitaran selamat. – TVS