MIRI, 28 Sept: Kedudukan ringgit yang terus mengukuh menunjukkan ekonomi Malaysia semakin positif, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, perjalanan masih jauh namun Sarawak sentiasa menyambut baik hasrat Malaysia MADANI demi kestabilan negara termasuk dalam ekonomi.
“Dalam keadaan aman dan makmur dan seterusnya dapat kita menumpukan kerja kita untuk membangunkan seluruh negara. Alhamdulillah saya nampak dua tahun, kita dah dapat menstabilkan seluruh negara. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya ringgit makin baik.
“Ini menunjukkan ekonomi kita sudah sembuh dan perjalanannya masih jauh sebab itu saya dengan rakan-rakan menyambut baik hasrat Malaysia MADANI ini. Kita juga sayang kepada Malaysia, sebab itu saya nampak masa depan kita cerah.
“Kalau terus stabil, kita dapat menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
PMR 2024 Sarawakku Sayang akan melabuhkan tirainya esok. – TVS