MIRI, 28 Sept: Pemikiran sempit dan kurang senang dengan kemajuan yang dikecapi negara ketika ini menjadi punca segelintir pihak menjadikan kaum serta agama sebagai alat memecah belahkan perpaduan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat segelintir pihak meletakkan sentimen sebagai perjuangan bagi meraih sokongan rakyat dan menanam kebencian dalam kalangan rakyat tentang kemajuan terbaharu yang dilaksanakan kerajaan perpaduan.
“Saya harap berita ini dapat kita sampaikan seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia kerana masih ada orang politik yang terdesak yang agak lemas dan tengok ekonomi berkembang, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat inflasi terkawal maka jalan keluar mereka adalah untuk menghasut supaya timbul kebencian antara kaum dan kegelisahan kerana perbezaan agama. Jadi kita mesti kemukakan contoh yang baik.
“Kefahaman ini perlu supaya tidak timbul ketegangan dan salah faham. Isu ini bukan kaum dan agama sahaja kadang-kadang antara negeri, sentimen itu ada,” katanya.
Berucap merasmikan Program MADANI Rakyat di Miri pada Sabtu, Anwar turut menambah berkenaan usaha kerajaan perpaduan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelasnya, dalam tempoh setahun lebih, terdapat lebih 11 perkara yang termaktub di dalam MA63 telah berjaya diselesaikan. – TVS