MIRI, 28 Sept: Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di Miri membuka peluang kepada belia untuk melakar masa depan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan tidak akan meminggirkan belia malah sentiasa mengalu-alukan penglibatan mereka.
“Tumpuan kita adalah kos sara hidup, kesihatan rakyat dan belia. Sebab itu ramai guru dan pelajar datang ke sini bagi melihat peluang masa depan dan corak Malaysia untuk masa akan datang.
“Mereka yang terlibat diharap dapat merasa suasana Malaysia khususnya di Sarawak. Ini penting untuk membolehkan mereka bersiap sedia menentukan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
PMR 2024 Sarawakku Sayang diadakan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 september 2024 di Miri.
Majlis perasmian PMR 2024 Sarawakku Sayang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang tadi. – TVS