SIBU, 28 Sept: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus komited meningkatkan pembabitan, kapasiti dan keupayaan usahawan Bumiputera melalui penyediaan ekosistem keusahawanan halal yang lengkap.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Datuk Zulfikri Osman berkata, untuk tujuan itu, MARA mewujudkan juruaudit halal sendiri bagi membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempercepatkan permohonan sijil halal yang dipohon usahawan.
“Walaupun MARA tidak dapat mengeluarkan sijil halal, pegawai MARA yang diberikan tauliah sebagai juruaudit halal oleh JAKIM boleh mencadangkan pemberian sijil halal kepada usahawan yang layak.
“Sekarang ini, kita sedang melatih lebih daripada 20 pegawai untuk menjadi juruaudit halal dengan harapan apabila MARA mempunyai juruaudit halal mungkin kita boleh membantu JAKIM mempercepatkan proses pengauditan kepada syarikat yang memohon pensijilan halal.
“Sekiranya proses audit itu dilaksanakan, kita boleh mencadangkan kepada JAKIM supaya usahawan yang memohon dianugerahkan pensijilan halal sekiranya lulus semua peringkat audit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Hit Barber, Sibu sempena lawatannya ke Sarawak di Arked MARA Sibu pada Sabtu.
Selain itu katanya, MARA juga mempunyai seramai 30 pegawai yang dilatih oleh JAKIM sebagai eksekutif halal sejak tahun 2022.
“Manakala bagi juruaudit halal kita baru bermula pada tahun ini dengan kerjasama bersama JAKIM serta semua jabatan agama Islam di peringkat negeri,” ujarnya.
Zulfikri turut memberitahu terdapat lebih 100 usahawan yang memohon sijil halal setiap tahun secara purata berdasarkan permohonan geran pensijilan halal kepada MARA.
Dalam pada itu, kedai gunting rambut ‘Hit Barber Classic’ Sibu yang dilancarkan merupakan cawangan pertama di Sarawak dan ia turut beroperasi di seluruh Malaysia dengan pendekatan unik dan konsep menarik.
Program Hair in Trend (HiT Barber Classic) diperkenalkan oleh MARA bagi melahirkan usahawan tukang gunting rambut atau penggaya rambut (stylist) profesional dan berpeluang mempunyai premis perniagaan gunting rambut. – TVS