BINTULU, 28 Sept: Empat individu melalui pengalaman ngeri selepas sesat di atas bukit SJK Chung Hua di sini, semasa melakukan aktiviti riadah hari ini.
Komander Operasi, Sat Rawing berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.24 malam dengan menggerakkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Pendaki tersebut terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 33 tahun.
“Pada jam 8.10 malam mangsa yang sesat dijumpai oleh pihak bomba dalam keadaan selamat pada jarak kira kira satu kilometer dari Taman Kidurong Height,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selepas mengambil maklumat mangsa dan memastikan keadaan mangsa benar-benar selamat serta tidak mengalami kecederaan, pihak bomba bergerak balik ke balai.-TVS