MIRI, 28 Sept: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dengan kerjasama cabang operasi dan runcit Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Syarikat SESCO Berhad (SESCO) melupuskan 239 mesin perlombongan mata wang kripto yang dirampas semasa operasi sebelum ini.
Pelupusan yang dijalankan di Pejabat Wilayah Miri SESCO pada awal September menggariskan komitmen berterusan untuk memerangi kecurian elektrik di Sarawak.
Sarawak Energy Berhad dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan, mesin yang bernilai lebih RM478,000 itu dilupuskan dengan menggunakan penggelek stim lapan tan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan penggunaan semula.
“Sisa tersebut kemudiannya diserahkan kepada kontraktor yang ditetapkan untuk pelupusan sewajarnya.
“Pelupusan sama dijalankan Julai lalu di Kota Samarahan yang mana nilai mesin yang dirampas berjumlah lebih RM100,000 telah dimusnahkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, ia adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk memerangi kecurian elektrik yang berkaitan dengan perlombongan mata wang kripto yang terus menjadi kebimbangan walaupun tarif elektrik rendah di negeri ini.
“Antara Januari hingga September tahun ini, sebanyak 29 kes dikesan di seluruh Sarawak mengakibatkan rampasan 702 mesin perlombongan mata wang kripto.
“Kecurian kuasa oleh pengendali mata wang kripto membawa kerugiaan anggaran RM12 juta bagi Sarawak Energy tahun ini,” jelas kenyataan tersebut.
Kecurian elektrik berbahaya boleh mengakibatkan kebakaran dan kerosakan pada peralatan elektrik dan kehilangan nyawa disebabkan oleh pendawaian yang tidak selamat.
Orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kecurian elektrik kepada Sarawak Energy dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111 atau melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com. – TVS