Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarawak Digital Mall bekerjasama dengan TikTok Shop untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 1,000 PKS di seluruh wilayah.

TikTok Shop catat pertumbuhan 2.2 kali pada separuh pertama 2024

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Sept: TikTok Shop menyaksikan pertumbuhan jualan sebanyak 2.2 kali ganda, peningkatan penjual 1.8 kali ganda serta lonjakan 1.8 kali ganda pencipta ahli gabungan, tahun ke tahun bagi separuh pertama 2024.

Penyedia platform e-dagang itu berkata ini menggambarkan peralihan sikap pengguna dalam talian Malaysia, apabila pembeli mengenali jenama-jenama menerusi kandungan yang dipaparkan di platform berkenaan.

Dalam satu kenyataan, TikTok Shop Malaysia berkata platform itu menawarkan usahawan tempatan peluang yang lebih besar untuk membina jenama yang bertahan lebih lama dengan memanfaatkan ekosistem menyeluruh “Shoppertainment” dan penyelesaian pemasaran merentasi saluran bagi memendekkan perjalanan pembelian pelanggan sambil membina nilai dalam komuniti.

Mengambil contoh penjual tempatan yang mempunyai kelainan upaya, ‘Dapur Pak Amir’, TikTok Shop menonjolkan bagaimana beliau meraih lebih 37,500 pengikut dan menjual lebih daripada 19,200 produk melalui kedainya.

“Kedainya turut menarik minat pasaran global, termasuk Jepun, Dubai, dan Amerika Syarikat,” katanya.

Untuk meningkatkan lagi pertumbuhan penjual, TikTok Shop mengumumkan bahawa ia akan memberi subsidi baucar lima kali ganda dan menawarkan pendedahan trafik khusus, terutamanya semasa musim jualan akhir tahun, termasuk jualan 10.10, 11.11 dan 12.12.

“Kami telah memperkenalkan baucar penghantaran percuma tanpa had yang boleh digabungkan, membolehkan pembeli menggabungkan berbilang diskaun dan baucar penghantaran dalam satu pembayaran, satu ciri yang dijangka memberikan nilai yang lebih besar sambil memacu penukaran dan hasil untuk penjual,” katanya.

TikTok Shop juga baru-baru ini mengadakan acara pemerkasaan penjual e-dagang tahunan utamanya, Sidang Kemuncak TikTok Shop, di Malaysia. Acara itu bertujuan untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan dengan memperkenalkan tiga tonggak penting yang membentuk masa depan beli-belah dalam talian.

Pada acara itu, TikTok Shop mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mempromosikan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ (KBBM) sebagai sebahagian daripada inisiatif #JomLokalnya.

Kempen ini dijangka memperkasakan lebih 8,000 penjual tempatan dengan menonjolkan 300,000 produk buatan tempatan melalui halaman khusus KBBM.

“Mulai sekarang hingga 31 Dis 2024, pengguna hanya perlu mencari “KBBM” di TikTok Shop untuk menyokong produk tempatan. Bagi menggalakkan rakyat Malaysia menyokong jenama tempatan, pembeli akan menikmati diskaun sehingga 30 peratus, baucar penghantaran percuma dan sorotan daripada pencipta kandungan tempatan,” kata TikTok Shop.

Bakal usahawan, usahawan PMKS tempatan dan jenama tempatan boleh memulakan perjalanan e-dagang mereka dengan mendaftar di TikTok Shop Seller Center dan meneroka kursus tutorial langkah demi langkah di TikTok Shop Academy. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan