KUCHING, 27 Sept: Kerajaan Sarawak tidak akan campur tangan dalam pengurusan AFFIN Bank Berhad meskipun mempunyai blok saham terbesar dalam institusi kewangan tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebarang urusan mengenainya diserahkan kepada pihak AFFIN untuk melaksanakan peranannya.
“Seperti mana disebutkan tadi kita (Kerajaan Sarawak) mempunyai blok majoriti saham, kerajaan Sarawak tidak akan campur tangan dalam pihak pengurusan, kita serah kepada mereka.
“Kecuali, kita mengharapkan kita akan menerima dividen pada hujung tahun, kita tidak akan campur tangan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penjanjian jual beli saham LTAT dan Kerajaan Sarawak di Hotel Sheraton Kuching pada Khamis.
Beliau yakin pihak AFFIN akan bekerjasama rapat dengan Sarawak dalam meneruskan kesinambungan pembangunan di wilayah ini.
Dalam pada itu, kata Abang Johari tiada keperluan untuk menjenamakan semula AFFIN kepada nama baharu setakat ini.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan untuk mencadangkan nama baharu jika perlu dijenamakan semula kelak.