LONDON, UNITED KINGDOM, 27 Sept: Tottenham memulakan kempen Liga Europa dengan kemenangan 3-0 menentang Qarabag walaupun bermain lebih 80 minit dengan 10 pemain.
Misi buruan gol Tottenham di awal permainan sedikit terencat apabila pemain pertahanan Radu Dragusin dilayangkan kad merah kerana menarik Juninho.
Kehilangan Dragusin tidak menjadi penghalang buat pasukan Ange Postecoglou apabila gol pertama berjaya dicetak pada minit ke-12 menerusi gol yang dijaringkan Brennan Johnson.
Gol tersebut menceriakan kembali penonton di Stadium Tottenham Hotspur namun separuh masa pertama berakhir dengan hanya satu jaringan.
Bersambung separuh masa kedua Pape Sarr menjaringkan gol kedua Tottenham dari jarak enam ela menewaskan penjaga gol Qarabag Mateusz Kochalski pada minit ke-52.
Kekasaran Yves Bissouma terhadap Elvin Cafarguliyev memberikan Qarabag penalti empat minit kemudian, namun Toral Bayramov gagal menyempurnakan peluang tersebut.
Dominic Solanke berjaya menyumbat gol kemenangan pada minit ke-68 dan menjadikannya gol kedua peribadi bersama Tottenham sejak perpindahan dari Bournemouth.
Sambil marah tentang isu pengangkutan pasukannya, pengurus Qarabag Gurban Gurbanov berkata: “Bayangkan terperangkap dalam lalu lintas selama lebih dua setengah jam. Tiada polis untuk mengiringi kami.
“Sebaik sahaja kami tiba, kami diberitahu untuk bermula dalam 40 minit. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, “ katanya. -TVS