KUCHING, 27 Sept: Penerapan teknologi geospatial dalam pengurusan sumber Sarawak menambah baik perancangan dan infrastruktur untuk mengoptimumkan penggunaan tanah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kuasa inovasi geospatial terletak kepada keupayaannya mencipta cerapan dipacu data sekali gus memberi manfaat kepada kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, teknologi tersebut akan membolehkan pakar membuat keputusan penggunaan tanah yang membawa kepada pembangunan mampan.
“Jika di bandar, ia meningkatkan pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan perkhidmatan awam manakala di luar bandar ia meningkatkan kepada sumber penting.
“Pada masa sama, ia memelihara persekitaran semula jadi kita dan menyokong perancangan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala GeoWeek 2024 di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
GeoWeek 2024 yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Tanah dan Suveri Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia disertai 225 peserta dari 25 negara.
Ia melibatkan penyertaan pakar penyelidik serta pengamal geospatial dari dalam dan luar negara yang membincangkan mengenai isu pentadbiran selain pengurusan menerusi maklumat digital dan pendekatan geospatial.-TVS