PHNOM PENH, 27 Sept: Eksport beras Myanmar dijangka tidak terjejas tahun ini walaupun Taufan Yagi memusnahkan 5,000 ekar kawasan tanaman padi di negara itu.
Menurut laporan media milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar pada Jumaat, Myanmar masih mempunyai stok simpanan sebanyak empat juta tan beras walaupun taufan itu merosakkan sawah padi, kilang dan kemudahan penyimpanan.
“Sawah padi mengalami kerosakan dan kawasan yang terjejas akibat banjir mencecah 5,000 ekar. Namun, ia tidak akan memberi kesan yang ketara kepada pengeluaran, inventori dan eksport beras Myanmar.
“Bekalan beras adalah mencukupi dengan baki inventori sebanyak empat juta tan. Rantaian bekalan beras Myanmar hanya mengalami sedikit kerosakan,” kata Presiden Persekutuan Padi Myanmar, U Ye Min Aung.
“Banjir turut memusnahkan 3,000 ekar tanah di Nay Pyi Taw dan beberapa kawasan tanaman di Wilayah Bago, Negeri Shan dan Negeri Kayah.
Menurut pakar industri, Taufan Yagi menenggelamkan kira-kira 190,000 hektar tanah pertanian di Vietnam dan 200,000 hektar di Myanmar sejak awal September.
Selain itu, kira-kira 29,659 hektar tanah pertanian di Laos terjejas dan 125 kolam pengairan turut rosak akibat hujan lebat dan angin kencang.
Vietnam mengeksport kira-kira lapan juta tan metrik beras ke pasaran global, menjadikannya antara pengeksport utama di rantau ini.
Sementara itu, Myanmar menghasilkan kira-kira dua juta metrik tan beras, dengan eksport utamanya termasuk beras dan beras hancur yang dihantar ke negara seperti China, Indonesia, Malaysia, dan Filipina.
Laos, Myanmar dan utara Vietnam terjejas teruk akibat taufan ini, dengan lebih 500 orang maut manakala banyak infrastruktur penting seperti kemudahan tenaga dan telekomunikasi musnah akibat angin kencang.
Dengan sokongan teknikal daripada kerajaan, sesetengah petani kembali menanam semula tanaman di kawasan yang terjejas banjir. – TVS