MIRI, 27 Sept: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) berperanan dalam menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan pelajar bermula daripada usia muda.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, program itu turut berperanan memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar yang lahir daripada pelbagai latar belakang, etnik dan budaya di wilayah ini.
“Saya ingin mengingatkan semua bahawa perpaduan adalah tonggak kekuatan dan kestabilan negara kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan nilai-nilai ini diterapkan sejak usia muda, bermula di sekolah kita.
“Melalui RIMUP, kita bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar tetapi juga memupuk rasa cinta dan tanggungjawab yang mendalam terhadap negara kita,” katanya menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Setiausaha sulitnya, Chia Kah Furng pada Majlis Perasmian RIMUP 2024 di sini, pada Jumaat.
Melalui platform itu, pelbagai program dan aktiviti dirancang dengan teliti sebagai usaha mengeratkan ikatan silaturahim dan semangat saling menghormati kalangan pelajar terlibat.Langkah itu penting dalam memupuk generasi yang menghargai kepelbagaian serta memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Justeru, beliau menggalakkan semua pelajar untuk memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya untuk berinteraksi, belajar dan membesar bersama-sama.
Sebanyak 11 sekolah rendah di Zon Piasau Miri yang terlibat bersama dalam program ini di bawah anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Miri Zon Piasau. -TVS