KUCHING, 27 Sept: Kerajaan Sarawak hari ini memuktamadkan perjanjian jual beli saham AFFIN Bank Berhad daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad sekali gus menjadi pemegang saham terbesar dengan 31.25 peratus pegangan menerusi anak syarikatnya, SG Assetfin Holdings Sdn Bhd (S-A-H).
Sebelum pengambilalihan itu, Kerajaan Sarawak memegang 4.81 peratus kepentingan dalam AFFIN Bank.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ia merupakan langkah pelaburan strategik jangka panjang membabitkan semua pihak berkaitan terutama masyarakat di Sarawak.
“Idea untuk memperoleh saham yang besar dalam AFFIN bermula dengan penghormatan dan pengiktirafan yang mendalam terhadap peranan penting industri perbankan dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat kita.
“Keputusan kami untuk melabur dalam AFFIN didorong oleh langkah strategik untuk mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank yang kukuh dan cekap ke arah meningkatkan potensi ekonomi Sarawak yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham Affin Bank Berhad di Hotel Sheraton Kuching, pada Khamis.
Katanya, langkah strategik itu menandakan satu elemen penting ke hadapan bagi Sarawak bersama dengan AFFIN dalam menjadi pemain terkemuka dalam landskap perbankan Malaysia.
Malah jelasnya, kolaborasi dengan AFFIN akan menjayakan lagi pelan komprehensif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030).
“Oleh itu, mempunyai bank yang memainkan peranan penting dalam mencapai objektif PCDS 2030 kerana kerjasama dengan AFFIN akan menjadi penting dalam memupuk pencapaian pelan pembangunan ini.
“AFFIN boleh menjadi salah satu pemangkin kritikal untuk menyokong Sarawak dalam memenuhi agenda ekonominya yang mampan,” katanya.
Dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran luas AFFIN, Sarawak katanya akan bekerjasama untuk membuka peluang baharu, memudahkan akses kepada modal dan menyemarakkan ekosistem keusahawanan. – TVS