KUCHING, 27 Sept: Pengambilalihan sebahagian pegangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam AFFIN Bank Berhad oleh Kerajaan Sarawak disifatkan sebagai pelaburan penting dan perlindungan simpanan persaraan tentera.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia bagi memastikan pertumbuhan dan perlindungan dana pencarum LTAT menerusi langkah strategik.
“Keputusan strategik ini dijangka menghasilkan pulangan positif dalam bentuk dividen yang kompetitif serta mampan kepada pencarum LTAT.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa langkah ini merupakan sebuah strategi pelaburan semula untuk mengoptimumkan portfolio LTAT dan menjamin penciptaan nilai jangka panjang bagi para pencarum,” katanya.
Berucap pada Majlis Perjanjian Jual Beli Saham AFFIN Antara Kerajaan Sarawak dan LTAT, Adly berkata, strategi tersebut bakal mencipta peluang untuk LTAT melabur dalam portfolio yang berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi, sambil memperkukuh kedudukan kewangan serta memaksimumkan manfaat kepada para pencarum.
Untuk itu, beliau memaklumkan LTAT komited untuk terus memperkukuh portfolio pelaburannya demi menjamin kestabilan dan pertumbuhan dana yang konsisten dan memastikan wang caruman berkembang dengan selamat.
“Melalui kerjasama pelaburan strategik ini, dana persaraan anggota ATM akan diuruskan dengan lebih berkesan dan efisien, memastikan pulangan yang lebih baik dan stabil.
“Ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan kewangan selepas persaraan, tetapi juga memberi jaminan dalam menyusuri masa depan yang lebih cerah,” ujarnya. -TVS