Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan Envato

Media Malaysia disaran bangun teknologi baharu guna kaedah AI

ByBernama

BEIJING, 27 Sept:  Organisasi media di Malaysia disaran membangunkan teknologi baharu bagi menambah baik kualiti kandungan, dengan mengambil kira aspek kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas digunakan ketika ini.

Mengambil contoh syarikat media China, China Media Group (CMG) yang mempelopori penyiaran definisi ultra tinggi 8K, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kepakaran teknologi dan teknikal syarikat itu wajar dicontohi stesen penyiaran negara, kerana turut membantu menjimatkan kos.

“Saya teruja melihat keupayaan anak muda dalam CMG yang menghasilkan sama ada kandungan AI atau augmented reality (AR) dan beberapa jenis teknologi yang baharu.

“Kita perlu lihat bagaimana organisasi seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dan RTM (Radio Televisyen Malaysia), dapat memanfaatkan teknologi baharu ini selain daripada kita juga bawa masuk lebih ramai tenaga kerja daripada anak-anak muda,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan CMG diketuai Naib Presiden syarikat itu Xing Bo, sebelum meninjau operasi dan melihat sendiri teknologi yang digunakan syarikat media itu.

Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja sulung beliau ke China selama tiga hari, bermula semalam.

Dalam pertemuan itu, Fahmi turut menyatakan hasrat Malaysia bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama antara organisasi media di bawah CMG, bersama organisasi media khususnya Bernama dan RTM.

Beliau berkata Malaysia patut lebih terbuka untuk melihat ruang kerjasama dengan mana-mana organisasi media termasuk CMG, yang mempunyai kepakaran teknologi media.

“Saya lihat beberapa perkara seperti ini yang boleh kita teliti dan juga apa disebut sebagai people to people sharing, dengan pasukan produksi yang boleh kita bawa dari China atau hantar ke China bagi melihat kepakaran apa yang boleh dimanfaatkan bersama,” katanya.

Selain memanfaatkan AI dalam penghasilan kandungan, beliau melihat terdapat peluang kerjasama dalam pertukaran kandungan berita antara kedua-dua negara, bagi menonjolkan dan mempromosi keunikan negara.

CMG, yang secara rasminya ditubuhkan pada 19 April 2018, merupakan antara konglomerat media terbesar di dunia dan mengendalikan rangkaian penyiaran yang luas.

Sebagai sebahagian daripada pelan strategik ‘5G+4K/8K+AI’ nya, CMG telah menubuhkan makmal aplikasi media 5G, makmal produksi dan penyiaran UHD peringkat kebangsaan, dan saluran TV satelit resolusi 4K yang pertama di China. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan