KUCHING, 27 Sept: Kedudukan saham Kerajaan Sarawak dalam kumpulan AFFIN Bank Berhad memainkan peranan penting dalam menyokong sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AFFIN mempunyai pelbagai produk dan perkhidmatan yang komprehensif selain kepakarannya dalam kewangan perdagangan dan pembiayaan komersial sekali gus menjadi rakan kongsi yang ideal untuk PKS.
“Dengan sokongan AFFIN, PKS boleh mengembangkan operasi, berinovasi dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat kita. Strategi kita untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menumpukan kepada mempelbagaikan sektor ekonomi kita, mengurangkan pergantungan kepada sumber semula jadi dan menarik pelaburan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham AFFIN Bank Berhad di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, AFFIN turut memainkan peranan penting menyokong pertumbuhan industri strategik Sarawak secara aktif.
“Sama ada dalam usaha berasaskan pertanian, pelancongan, pembuatan, atau sektor yang dipacu teknologi, AFFIN boleh menyediakan bantuan kewangan yang diperlukan dan panduan untuk perniagaan berkembang maju,” jelasnya.
Tambahnya kerjasama dengan AFFIN penting demi masa depan yang makmur untuk Sarawak. – TVS