KUCHING, 27 Sept: Kem badminton Sarawak berjaya mencapai sasaran ditetapkan pada Para SUKMA XXI.
Pengurus Pasukan Badminton Para Sarawak, Colis Ruman berkata, skuad kali ini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mengutip tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa.
“Ya, secara keseluruhannya memang amat membanggakan sebab Syafiqqah menang buat kali pertama kemudian pemain berkerusi roda kita (Ashley) dapat pingat emas dan acara baharu dipertandingkan iaitu beregu campuran, kita juga mendapat emas.
“Memang sasaran kita untuk meraih tiga emas dan kita menambah satu pingat perak dan tiga gangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Persatuan Badminton Sarawak BDC hari ini.
Menurutnya, sesi latihan akan diteruskan bagi menghadapi satu kejohanan yang dijangka berlangsung pada November di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, kita memeriksa tahap kesihatan atlet terlebih dahulu sebelum memuktamadkan program latihan bersesuaian.
“Kejohanan terdekat berlangsung pada bulan November di Kuala Lumpur, kita akan menilai dahulu tahap kesihatan pemain kerana ada yang cedera,” ujarnya.
Pemenang pingat emas untuk Sarawak terdiri daripada Gregory Kanyan dan Nursyazwani Sharom, Ashley Irenaeus Jeck serta Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi.
Nursyazwani turut menyumbang pingat perak manakala Ardiles Benson dan Nurzammiezatul, Mohamad Aqil Haziq Nong Chee dan Chan Lee Ching, Gregory dan Nik Ariffen Putit serta Lee Ching menyumbang gangsa.-TVS