MIRI, 27 Sept: Perkhidmatan bas ulang-alik percuma untuk memudahkan perjalanan pengunjung ke Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang bertempat di perkarangan Boulevard Mall Miri.
Bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam, perkhidmatan tersebut akan melibatkan kitaran bas bagi setiap 20 hingga 30 minit.
Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di Stadium Bandaraya Miri dan hentian bas Boulevard Miri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berkata, pihaknya akan menutup beberapa jalan dan membuat lencongan sepanjang program berlangsung.
Laluan yang ditutup dan dilencongkan merangkumi Jalan Boulevard Utama, Jalan Vinca dan susur keluar Jalan Boulevard 2D.
“Bagi orang awam yang ingin hadir ke program ini dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan di tempat letak kenderaan Stadium Miri dan tempat letak kenderaan awam kawasan berhampiran Boulevard Mall,” katanya.
Orang ramai diingatkan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi mengelak mengganggu kelancaran lalu lintas serta mematuhi arahan anggota polis bertugas.
Pada masa sama, polis turut menawarkan pengurangan kadar kompaun atau saman sebanyak 50 peratus.
Sebanyak 14 kaunter semakan dan bayaran akan dibuka di tapak program tersebut.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Daerah Miri ditalian 085-430479. – TVS