JAKARTA, 27 Sept: Seramai 15 orang pelombong maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kawasan perlombongan emas haram di Solok, Sumatera Barat, pada Khamis.
Tragedi itu dilaporkan akibat tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat di kawasan lombong haram berkenaan.
Pemantauan Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) pada hari ini menyatakan struktur tanah yang tidak stabil menjadi punca kepada kejadian itu selain lokasi terbabit adalah di kawasan hilir.
Menurut Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, setakat ini empat daripada 15 pelombong yang maut berjaya dipindahkan dari tempat kejadian.
“Laporan sementara dari lokasi carian belumsemua mangsa boleh dipindahkan kerana lokasi kejadian sukar dicapai dengan kenderaan,” katanya.
Beiau turut mendedahkan tujuh lagi mangsa masih hilang dan operasi pencarian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) giat dilaksanakan yang turut mengakibatkan tiga orang lagi cedera parah.
Pasukan masih menjalankan operasi dengan bantuan tentera dan polis serta sokongan penduduk setempat bagi membantu operasi kecemasan sementara menunggu peralatan berat jengkaut itu tiba.
Sejurus itu operasi dihentikan buat sementara waktu hari ini berikutan hujan berterusan dan keadaan tanah yang tidak stabil.