LUNDU, 24 September: Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2024M/1446H menjadi wadah untuk memberi pemahaman kepada masyarakat Islam agar lebih cakna terhadap konsep hukum agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan juga menyifatkan program itu juga menjadi platform memperkasakan ummah seiring dengan usaha Kerajaan Sarawak dan Majlis Islam Sarawak (MIS) untuk mendidik, membangunkan serta mengukuhkan ukhwah kalangan masyarakat Islam di Sarawak.
Menurutnya, program terbabit antara sebahagian daripada elemen yang akan menjayakan perancangan Agenda Pembangunan Ummah (Pelan Tindakan MIS 2021 hingga 2030) menerusi penganjuran aktiviti berteraskan kemasyarakatan.
“Saya merasakan ini adalah satu inisiatif yang amat baik sekali bagi mendekatkan agensi-agensi Islam di bawah majlis Islam kepada rakyat.
“Menerusi program sebegini, agensi-agensi terbabit akan dapat memperkenalkan serta menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan pada masa yang rakyat akan lebih tahu dengan lebih dekat lagi, fungsi dan peranan agensi Islam di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai majlis perasmian Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2024M/1446H di Lundu pada Khamis.
Azizul menambah selain sesi perkongsian ilmu, interaksi antara para peserta program Ziarah Mahabbah itu secara tidak langsung mengukuhkan persaudaraan sesama Islam apabila wujud perasaan saling menghormati, percaya, mahabbah dan kasih sayang antara satu sama lain.
Pada majlis yang sama, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu, Mizool Amir Mat Drus turut menyampaikan sumbangan penerbitan Al-Quran Terjemahan berjumlah RM152,100 kepada Majlis Islam Sarawak.
Seramai lebih 1,500 warga sekitar Lundu dan Sematan dijangka akan turut serta dalam program anjuran MIS tersebut.
Pelbagai program telah diatur bersempena Ziarah Mahabbah yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September kelak, dan ini antara lainnya termasuklah kursus pra perkahwinan, bengkel pengurusan jenazah, klinik solat bersama warga emas dan ceramah pemerkasaan belia Islam.
Hadir sama Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha. -TVS