MIRI, 26 Sept: Persatuan Foochow Batu Niah Miri yang kini mencecah usia 50 tahun menjadi platform untuk memartabatkan budaya Foochow serta melindungi hak masyarakat cina di sini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin mengakui persatuan itu kini menjadi salah satu kuasa penting dalam komuniti Foochow di kawasan Niah dan Miri.
“Selama 50 tahun perjalanan yang penuh cabaran dan usaha gigih, Persatuan Foochow Batu Niah Miri telah berkembang dari tiada kepada ada, dari kecil hingga besar, melalui pelbagai perubahan dan pembangunan, dan kini telah menjadi salah satu kuasa penting dalam komuniti kita,” katanya.
Selain memelihara budaya, menurutnya persatuan itu juga aktif dalam kegiatan amal dan menyokong pembangunan ekonomi tempatan, di mana inisiatif mereka mendapat pengiktirafan luas.
Dengan semangat berterusan, kata Kim Shin Persatuan Foochow Batu Niah Miri berhasrat untuk menyumbang kepada perpaduan dan pembangunan komuniti dalam 50 tahun akan datang. – TVS