KUCHING, 26 Sept: Prestasi memberangsangkan atlet boccia Sarawak pada Para SUKMA XXI mencerahkan peluang untuk mewakili negara pada Sukan Para Asean kelak.
Jurulatih Sarawak, Vencent Teri berkata, kemampuan meraih dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa setakat ini membuktikan atlet Sarawak merupakan antara kuasa besar sukan tersebut di Malaysia.
Menurutnya, sekiranya prestasi tersebut diteruskan, atlet bimbingannya mampu mendapat tempat untuk beraksikan di peringkat antarabangsa.
“Kebanyakan pemain kita berusia 35 tahun dan masih boleh bersaing untuk Para SUKMA seterusnya dan pada masa sama terlibat dengan Sukan Para Asean.
“Kalau prestasi seperti ini diteruskan, mungkin ada pemain kita bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di sini, hari ini.
Menurut Vencent, latihan berfasa yang diterapkan kepada atlet akan diteruskan bagi memastikan mereka tidak penat dalam aspek mental sekali gus menimbulkan perasaan bosan.
“Latihan akan menjadi persiapan atlet untuk melengkapkan diri bagi menyertai kejohanan yang akan dilangsungkan tahun depan,” ujarnya.
Setakat ini, Sarawak meraih lima pingat yang disumbangkan oleh Angeline Melissa Lawas dan Dele Adelric Teri (emas), Nur Aisyah Madzelan dan Sherviana Mathew (perak) manakala Jervis Chi Hong Zhe (gangsa). – TVS