KUCHING, 29 September: Atlet para Sarawak, Nur Atirah Voon Abdullah berjaya menyumbang emas kedua kepada tuan rumah dalam acara rejam lembing kategori wanita F11 pada Para SUKMA ke-21.
Atirah yang menghidap glaukoma sehingga menyebabkan dia disahkan cacat penglihatan pada usia 11 tahun beraksi dengan baik serta berjaya mengatasi rakan sepasukannya dengan jarak rejaman 14.71 meter (m).
Menurutnya, aksi hari ini merupakan pingat emas kedua yang dibutirnya sambil mendedahkan kejayaan tersebut tidak akan dikecapi tanpa sokongan daripada ahli keluarga.
“Pembakar semangat saya ialah keluarga saya, suami dan anak-anak. Merekalah yang memberi semangat kepada saya.
“Selain itu jurulatih, yang membimbing saya sehingga saya mendapat keputusan yang baik,” jelasnya.
Atirah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Pingat kepada para pemenang di Stadium Sarawak, Kuching, di sini hari ini.
Menjadikan Watson Nyambek sebagai idola, Atirah mendedahkan Para SUKMA kali ini merupakan edisi ke-10 yang disertainya sejak dari tahun 2002.
“Sebenarnya, sebelum ini saya pelari pecut dan ini merupakan kali pertama saya menyertai acara rejam lembing, lontar peluru dan lempar cakera.
“Persiapan saya selepas ini, saya teruskan berlatih. Insyaallah kalau ada peluang, saya ingin menyertai Sukan Para Asia,” katanya lagi.
Bagi acara tersebut, pingat perak dan gangsa turut dirangkul tuan rumah menerusi Catalina Sunti dengan jarak rejaman 14.71 meter (m) dan Rebecca Dawi, 09.35 meter (m).
Dalam pada itu, untuk acara Rejam Lembing kategori Wanita F12/F13, Sarawak berjaya memperoleh pingat emas dan perak yang dibawa pulang Siti Zubaidah dengan jarak rejaman 20.24 meter (m) dan Noor Kalsum, 15.36 meter (m). – TVS