KUCHING, 26 Sept: Atlet Sarawak, Jap Soon Hung sekali lagi memecah rekod sekali gus meraih pingat emas kedua pada Para SUKMA XXI.
Soon Hung, 39, mencipta rekod baharu dengan lemparan 21.07 meter memadamkan rekod lama miliknya 20.86 meter dalam acara lempar cakera lelaki F54.
Beliau berkata, rekod baharu yang dilakar itu didedikasikan kepada Kerajaan Sarawak.
“Kali ini, saya memang gembira kerana berjaya memecahkan rekod milik saya sendiri.
“Pingat emas ini untuk Kerajaan Sarawak yang banyak membantu golongan orang kelainan upaya (OKU),” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Stadium Sarawak hari ini.
Menurutnya, penglibatan awal dalam Para SUKMA adalah pada 2014 namun pada ketika itu menyertai lumba kerusi roda yang kini tidak dipertandingkan lagi.
Sementara itu, Soon Hung berkata, beliau tidak boleh berjalan kerana mengalami masalah ketumbuhan di bahagian belakang tulang.
“Ketika berusia 12 tahun, saya baru menyedari ada ketumbuhan. Masa itu, saya hendak turun ke sekolah namun secara tiba-tiba kaki tidak boleh berjalan.
“Selepas diperiksa, ketumbuhan ini semakin besar,” ujarnya.
Beliau menasihati atlet muda para supaya tidak cepat berputus asa dan sentiasa bekerja keras semasa latihan.
Tempat kedua bagi acara disertai Soon Hung merupakan atlet Sabah, Freddy Waldie dan Muhammad Khairi Military.-TVS