KUALA LUMPUR, 26 Sept: Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Asia ke-27 di Bangkok, Thailand semalam selepas meraih lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa.
Ini merupakan kejayaan kali kedua Malaysia selepas turut muncul juara pada edisi 2019 di Kuwait.
Dua pingat emas terakhir semalam disumbangkan oleh pemain nombor satu Asia, Rafiq Ismail dan Juara Terbuka Amerika Syarikat 2024, Sin Li Jane dalam acara master.
Rafiq yang menang empat emas sebelum ini mara ke step ladder final selepas menduduki tangga teratas peringkat round robin.
Juara Sukan Asia 2018 itu bagaimanapun bermula goyah apabila tewas 188-211 kepada pencabarnya, Park Dong Hyuk dari Korea Selatan.
Rafiq kembali mendapat rentak balingan pada perlawanan kedua apabila meledak enam strike berturut-turut dan menamatkan permainan dengan 278 pin manakala Dong Hyuk tidak mampu menghalang kemenangan wakil Malaysia itu apabila sekadar menjatuhkan 224 pin.
Dong Hyuk sebelum itu menewaskan seorang lagi pemain Malaysia, Hafiz Zainuddin dałam step ladder pertama.
Dalam aksi wanita, Li Jane turut menewaskan pemain Korea Selatan, Jung Da Wun dałam laluannya meraih emas.
Pemain kelahiran Ipoh, Perak itu menang tipis perlawanan pertama dengan catatan 246 pin berbalas 244 oleh Da Wun.
Game penentuan menyaksikan Da Wun melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan dia menutup permainan dengan 197 pin berbanding 227 pin dilakukan oleh wakil negara.
Pingat gangsa turut menjadi milik Malaysia menerusi Natasha Roslan yang tewas kepada Da Wun sebelum itu.
Sementara itu Persatuan Tenpin Boling Malaysia mendedikasikan kejayaan itu kepada bekas presiden mereka, Datuk Dr P.S Nathan yang meninggal dunia pada Isnin lepas.
“Lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa. Doktor, ini untuk anda,” tulis persatuan itu menerusi kenyataan di Facebook.
Selain menguasai acara master, Malaysia turut menang emas menerusi perseorangan lelaki, beregu lelaki, trio lelaki, all event lelaki dan wanita.
Skuad 12 pemain Malaysia di Bangkok turut diwakili Gillian Lim, Faten Najihah Faik, Nora Lyna Nastascia, Tun Amirul Hakim, Syafiq Ridwan Abdul Malek, Izz Naqiuddin dan Syaqeem Izwan Teh.
Sementara itu Singapura muncul naib juara dengan tiga emas dan Korea Selatan ketiga dengan satu pingat emas. -TVS