KUCHING, 25 Sept: Pasukan Perak berjaya mendominasi acara para catur pada Para SUKMA 2024 apabila berjaya meraih enam emas, dua perak satu gangsa hari ini.
Ketua Jurulatih Para Catur Perak, Abu Bakar Martin berkata, beliau menganggap pencapaian yang diperolehi hari ini sebagai permulaaan untuk pasukan Perak dalam menambah koleksi pingat.
“Saya sangat berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan mereka hari ini. Saya harap acara seterusnya mereka akan kekalkan rentak permainan dengan baik untuk mencapai banyak pingat.
“Saya mahu atlet kekalkan prestasi mereka supaya ada peluang untuk kita dapat pingat yang lebih banyak lagi untuk acara esok hingga hari terakhir,” ketika ditemui selepas acara Penyampaian Pingat Para Catut pada Para SUKMA 2024 di sini, hari ini.
Abu Bakar turut menyifatkan kejayaan yang diraih itu merupakan pencapaian terbaik bagi pasukan catur Perak sejak pertama kali beliau membimbing pasukan itu pada 2017.
Sebelum ini, Perak terpaksa akur meraih kedudukan kedua pada edisi selepas, di belakang Johor.
Untuk edisi kali ini, kontinjen Perak menanam hasrat dan impian untuk menjadi juara keseluruhan pada Para SUKMA 2024.
Kontinjen Perak berjaya menyapu pingat emas dalam acara Para Catur Standard B1 lelaki dan perempuan individu melalui Muhammad Farhan Norhayalim dan Norhayati Sarnoh.
Rentak kejayaan itu mula diikuti Ahmad Nazmi Md Nizam yang berjaya meraih pingat emas ketiga dalam kategori standard P1 lelaki individu.
Kehebatan pasukan Perak terus dibuktikan dengan memenangi emas keempat dalam kategori standard B1 lelaki berpasukan dimenangi Muhammad Farhan Norhayalim, Yeoh Kok Soon dan Muhammad Fahmi Nor Hayalim.
Emas kelima berjaya diraih Norhayati Sarnoh, Mahavithia Arumugam dan Nur Shafina Ros Azizi dalam acara Standard B1 perempuan.
Perak sukar ditandangi pihak lawan selepas berjaya menambah koleksi pingat emas keenam melalui, Ahmad Nazmi MD Nizam, Amirul Iman Amiruddin dan Nur Zulhaqqimi Nazeri dalam acara standard P1 lelaki. – TVS