KUCHING, 25 Sept: Minat mendalam terhadap sukan catur yang dipupuk sejak kecil lagi, mendorong atlet muda Johor, Lim Yee Jin dalam merealisasikan impiannya untuk meraih pingat emas dalam sukan Para Catur.
Biarpun lumpuh sejak usia muda, namun ia tidak mematahkan semangat dia untuk menyumbang kejayaan kepada kontinjen Johor.
Katanya, dia mula menceburi minat dalam bidang sukan catur sejak kecil dan mula menanam impian untuk menjadi atlet yang mampu menyumbang kejayaan di peringkat nasional.
“Saya mula bermain catur sejak usia sepuluh tahun, sewaktu saya masih kecil. Jadi sejak itu, saya belajar bermain catur sehinggalah sekarang.
“Saya memang minat catur dan sewaktu kecil lagi saya ingin menjadi atlet yang dapat mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan seperti Para SUKMA ini,” katanya ketika ditemui TVS selepas acara Penyampaian Pingat Para Catut pada Para SUKMA 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dia menyifatkan kejayaan yang diraihnya itu tidak datang bergolek tanpa sokongan daripada pelbagai pihak yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya dalam menceburi sukan catur.
“Saya rasa bersyukur kerana ada jurulatih yang hebat melatih saya. Malah, kejayaan ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa pengurus pasukan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.
“Selain itu, rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat dan nasihat kepada saya. Mereka memang seorang insan yang berhati mulia. Saya bersyukur dekelilingi insan seperti mereka,” ujarnya.
Dia yang juga pemenang pingat emas edisi lalu, sekali lagi membuktikan kemampuannya itu sukar ditandingi pihak lawan selepas berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara Standard P1 Perempuan Individu.
Kejayaan itu menjadi pembakar semangat dia untuk memburu pingat emas peribadi yang kedua dalam acara Standard P1 Perempuan Berpasukan bersama rakan sepasukannya Aqilah Syahira Ahmad dan Intan Ibrahim. – TVS