KUCHING, 25 Sept: Persidangan Seni Gunaan dan Kreatif Antarabangsa Ketujuh (ICACA) 2024 berupaya menjadi platform penting dalam mewujudkan kerjasama antara pengamal seni, saling bertukar idea serta menerokai kuasa transformatif seni dan budaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pandangan dan pengalaman pengamal seni ini adalah perspektif berharga untuk diterapkan meliputi pelbagai topik daripada seni dan budaya lestari kepada reka bentuk perindustrian, fesyen, sinematografi serta pemeliharaan budaya.
Katanya, kerjasama pengamal seni tempatan dalam industri seni dan kreatif adalah satu usaha yang baik dalam mengekalkan identiti Sarawak.
“Ini membuktikan peranan penting pengamal seni tempatan dan inisiatif kerjasama dalam mengekalkan identiti budaya.
“Kami sentiasa percaya bahawa seni dan industri kreatif adalah sebahagian daripada identiti Sarawak, dan itulah sebab mengapa kami mempunyai muzium ini,” jelasnya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian ICACA 2024 di Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.
ICACA bermula pada tahun 2017 yang berperanan sebagai platform untuk pendidik, penyelidik, pereka bentuk, pembuat dasar, pengamal, penggiat seni, pelajar dan pemimpin masyarakat untuk berkumpul dan membincangkan pelbagai isu berkaitan seni dalam masyarakat.
Ia juga bagi meneruskan usaha dalam mempamerkan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS sebagai institusi pengajian tinggi yang menyokong usaha kesarjanaan dalam seni melalui persidangan dan penerbitan berkualiti tinggi. – TVS