KUCHING, 25 Sept: Pelari pecut para Sarawak, Filemon Lirong Dionisus berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara 200 meter (m) dan 400 m lelaki T11.
Acara yang berlangsung di Stadium Sarawak menyaksikan Filemon berjaya memintas saingannya, Muhammad Rafique Farhan Saiful Nizam menerusi catatan masa 26.65 saat (s).
Filemon, 29, yang mengidolakan bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek berkata, sasarannya pada Para SUKMA kali ini adalah untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya sejak sukan Para SUKMA Perak 2018.
“Ini merupakan Para SUKMA kelima yang telah saya sertai dan tiga kali mempertahankan pingat emas bagi acara ini.
“Emas pertama yang saya peroleh pada Para SUKMA Perak iaitu saya dapat tiga pingat emas bagi kategori 100m, 200m dan 400m yang mana dua kategori (100m dan 200m) saya telah pecahkan rekod pada ketika itu.
“Untuk Para SUKMA di Kuala Lumpur pula saya memperoleh dua pingat emas bagi kategori 100 meter (m) dan 200 meter (m),” katanya kepada TVS di sini, hari ini.
Kata Filemon, sepanjang menjalani latihan selama satu tahun, banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya demi untuk mendapatkan emas pada edisi kali ini.
“Semasa menjalani latihan, saya mengalami kecederaan ringan dan itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berlatih hingga mampu mempertahankan emas yang dimiliki hingga tahap ini.
“Selepas ini, saya mahu rehat sekejap daripada menjalani latihan dan saya juga berhasrat untuk menyertai sukan Para SUKMA yang akan datang,” ujarnya.
Menerusi acara 200m, pingat perak menjadi milik Muhammad Rafique Farhan Saiful Nizam dari Johor yang mencatatkan masa 27.65 saat, manakala pingat gangsa dimenangi oleh Rangong Unggang (27.81 s) dari Sarawak.
Bagi acara 400 meter pula, Filomen Lirong Dionisus berjaya meraih pingat emas dengan catatan masa 1:03:69 manakala pingat perak dimenangi oleh Muhammad Rafique Farhan Saiful Nizam dari Johor (1:07:32) dan pingat gangsa dibawa pulang oleh Teoh Emin dari Penang (1:09:15). – TVS