KENINGAU, 25 Sept: Dua beradik hilang selepas dihanyutkan kepala air yang meranapkan rumah mereka di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang dilaporkan hilang membabitkan seorang bayi berusia tiga bulan dan kakaknya yang berusia tiga tahun.
Menurutnya, kedua-dua warga Indonesia itu dikenali sebagai Muhd Fadli Asrul dan Norsifah Asrul dilaporkan sehingga kini masih belum dapat ditemui.
“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di ruang tamu rumah kongsi bersama ibu bapa mereka.
“Bagaimanapun, arus deras yang tiba-tiba melimpahi tebing dan terus meranapkan rumah kongsi mereka yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, arus sungai deras tiba-tiba melimpahi tebing dan terus menghanyutkan rumah kongsi bersama keempat-empat mangsa.
“Sebelum kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat selama beberapa jam. Mengikut maklumat, kejadian kepala air tidak pernah berlaku sebelum ini di kawasan berkenaan.
“Kedua-dua mangsa dikatakan terlepas dari dakapan ibu bapa apabila rumah mereka dipukul kayu balak yang dihanyutkan kepala air,” jelasnya.
Yampil berkata, ibu bapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan masih berada di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa sedang dijalankan pasukan bomba.
“Operasi pencarian turut dibantu pasukan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama penduduk kampung,” katanya. -TVS