KUCHING, 25 Sept: Sukan boling tenpin yang dahulunya hanya dianggap sebagai hiburan dan mengisi masa lapang kini bertukar kepada satu acara penting yang membuahkan hasil buat seorang atlet para Sarawak, Mohd Feroz Hamdan.
Mohd Feroz berkata, minatnya dalam sukan tersebut menjadi satu keutamaan apabila menjelang kejohanan seperti Para Sukan Malaysia (SUKMA).
“Sukan ini memerlukan kami untuk menyediakan bola dan kasut yang sesuai. Kami boleh katakan ia mewah, sebab itu dulu saya hanya menganggap sukan ini sebagai hiburan dan mengisi masa lapang.
“Selepas berjaya membawa kemenangan kepada Sarawak saya kemudian membuat keputusan untuk serius dalam sukan ini.
“Tambahan pula, minat ini mula timbul apabila saya bertemu dengan jurulatih (Mohamad Salleh Sahari) yang memperkenalkan saya dan mengajak saya menyertai sukan ini,” katanya kepada TVS di Megalanes Emart, di sini, hari ini.
Menurut Feroz lagi, ini merupakan penampilan ketiganya pada Para SUKMA.
Dia dan pasangan Abang Yusdi Abang Annuar sebelum ini pernah menyumbang gangsa kepada Sarawak iaitu pada temasya Para SUKMA di Kuala Lumpur bagi kategori beregu lelaki TPB9.
Mohd Feroz dan Abang Yusdi dijadual beraksi petang ini bagi merebut gelaran juara bagi kategori beregu lelaki TPB9.
Pasangan itu akan berdepan saingan daripada rakan senegeri iaitu Marcos Chang Hao Hong dan Wong Kee Soon selain pencabar utama dari Pulau Pinang iaitu pasangan Ali Ishak Mohd Yusoff – Ishak Awang serta dari Kedah Muhammad Amirrudin Abdullah-Shahrul Izran Mat Isa. – TVS