KUCHING, 25 Sept: Sarawak berjaya mencapai sasaran tiga pingat emas ditetapkan dalam acara ping pong Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Selepas menang satu emas semalam, hari ini skuad ping pong menuai dua kilauan emas menerusi Gloria Gracia Wong Sze bagi acara perseorangan wanita berdiri (9-11) dan Bivyana Ujai dalam perseorangan wanita 11.
Ketua Jurulatih Anthony Jong berkata, beliau berpuas hati kerana atlet yang terpilih mewakili Sarawak menunjukkan semangat juang yang tinggi.
Ujarnya, mereka turut memberikan komitmen ketika sesi latihan.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua atlet sebab mereka sangat berusaha dan rajin datang latihan.
“Semua atlet dalam keadaan yang baik dan tiada yang mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua No.3, di sini hari ini.
Ditanya mengenai persiapan sebelum Para SUKMA, Anthony berkata mereka turut berkelana ke luar negara apabila berlatih di Bangkok, Thailand.
“Pasukan telah menjalani latihan intensif selama 18 hari di sana dengan dibimbing oleh jurulatih kebangsaan Thailand.
“Di Bangkok, kami juga mengadakan perlawanan persahabatan bagi mempelajari taktik yang berbeza untuk meningkatkan keupayaan pasukan,” katanya. -TVS.