KUCHING, 25 Sept: Atlet Sabah, Fredechi Asri berjaya mencipta rekod baharu bagi sukan rejam lembing wanita F40 pada Para SUKMA Sarawak 2024 selepas mencatat rejaman 11.58 meter.
Dia memadamkan rekod lama atlet tuan rumah, Sarawak iaitu Cordiria Nyoted (8.54 m) pada para SUKMA Perak 2018.
Menurut Fredechi, dia telah menjalani latihan selama satu tahun dan ini merupakan emas pertamanya.
“Saya berasa sangat terkejut dan tidak menyangka akan memperoleh pingat emas ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan rekod baharu yang telah saya ciptakan ini,” katanya kepada TVS selepas penyampaian pingat di Stadium Sarawak hari ini.
Kata Fredechi, sokongan dan dorongan daripada jurulatih dan ahli keluarga menjadi pembakar semangatnya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih saya yang telah memberikan latihan selama setahun ini sehinggalah saya berjaya mendapat pingat emas untuk dibawa pulang ke kampung.
“Perancangan saya selepas ini adalah untuk membantu keluarga saya dan meneruskan latihan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi acara yang sama, pingat perak dan gangsa menjadi milik tuan rumah, Sarawak menerusi Mary Bada dan Noor Zaidah Dahlan. – TVS