KUCHING, 24 Sept: Sarawak merupakan negeri pertama yang merancang penghasilan biojisim daripada rumput hibrid tropika, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, penanaman rumput ini sudah dijalankan di kawasan tanah seluas 800 ekar di Bintulu dan hasil tuaiannya akan diproses menjadi biojisim bagi menjana tenaga boleh diperbaharui untuk manfaat masyarakat.
“Sekarang kita boleh tanam rumput untuk menghasilkan tenaga elektrik. Ini adalah sesuatu yang baru.
“Tanam rumput bukan sahaja untuk kerbau atau ternakan, iaitu secara tradisinya yang kita tahu melalui konvensyen. Kita menghasilkan tenaga elektrik untuk menggantikan arang batu sebagai biojisim dan Sarawak sedang menghasilkannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Geoweek 2024 di sini, hari ini.
Selain itu katanya, tenaga lestari lain yang bakal dibangunkan Sarawak ialah alga atau lumut bagi menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), iaitu minyak pesawat.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan tentang penggunaan data dan teknologi digital dalam usaha untuk memudahkan urusan pentadbiran tanah dan mengukur nilai ekonomi tanah.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan banyak dana serta melabur dalam teknologi digital.
“Sekiranya mereka tidak mempunyai hak milik tanah, mereka boleh memohon melalui aplikasi digital iaitu secara dalam talian dan (pihak Jabatan Tanah dan Survey) akan memberi hak milik kepada mereka. Inilah cara kita menguruskan pentadbiran tanah kita.
“Kedua ialah kualiti tanah. Kita ada pelbagai lapisan tanah sama ada sesuai untuk keluarga, tanaman, kelapa dan sebagainya, ini boleh dilakukan melalui maklumat satelit.
“Teknologi sekarang berupaya untuk mendapatkan imej tanah daripada lapisan demi lapisan,” jelasnya.
Tambah Abang Johari lagi, kemudahan ini, sekiranya dimanfaatkan, akan dapat mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan apabila mereka mampu merancang penggunaan tanah mereka untuk menjana ekonomi.
Selain itu, Abang Johari turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menangani perubahan iklim, termasuk menggalakkan penanaman semula hutan terbiar bagi mewujudkan kawasan penyerap karbon.
Program anjuran Jabatan Tanah dan Survei dengan kerjasama Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia, menghimpunkan pakar dari seluruh dunia, termasuk penyelidik, pengamal dan pihak berkepentingan dalam bidang geospatial.-
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.- TVS