Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nita Saoh (kiri) ibu kepada Adrian dan Anatlie. Ali( kiri) sukaralewan yang menjaga Minah. Nita dan Minah merupakan klien JKM yang mendapat manfaat daripada program KBDR. Foto TVS

Program Khidmat Bantuan Di Rumah beri sinar kepada komuniti berkeperluan khas

ByFebbright James

MENGALIR air mata seorang ibu bernama Nita Saoh, 44, saat menceritakan mengenai cabarannya menjaga dua anaknya iaitu Adrian Ayau Ambun dan Natalie Nattir Umbi, masing-masing 24 dan 14 tahun yang merupakan insan berkeperluan khas dan kurang upaya.

Kata Nita, anak lelakinya Adrian mengalami masalah kecacatan intelektual selepas mengalami sawan manakala anak perempuannya Natalie merupakan kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran.

“Macam Adrian susah untuk saya uruskan kerana dia tidak pandai beritahu sekiranya hendak buang air besar, makan atau minun serta apa sahaja yang dia perlukan.

“Manakala Natalie masih lagi boleh memaklumkan keperluannya dan mengurus diri sendiri. Jadi saya harap sesiapa sahaja yang memiliki anak seperti ini untuk bersabar dan menjaga mereka ini sebaik mungkin kerana mereka adalah anugerah Tuhan,” katanya ketika ditemui TVS di rumahnya.

Nita Saoh menahan sebak ketika berkongsi kisahnya. Foto Mohammad Raffiq

Katanya, Adrian sepenuhnya berada di rumah manakala Natalie masih lagi mendapatkan pendidikan di sekolah khas.

Nita sendiri tidak dapat bergerak keluar dari rumah dengan kerap kerana anaknya memerlukan perhatian sepenuhnya, di samping menguruskan keperluan di rumah.

Nita yang tinggal di Rumah Panjang Adin, Sibu memaklumkan dia hanya akan keluar dari rumah apabila berjumpa dengan doktor dan mengambil bekalan ubat di hospital sahaja.

Program Khidmat Bantuan Di Rumah (KBDR) beri sinar

Nita memaklumkan langkah kakinya sedikit sebanyak tidak lagi terbatas setelah adanya Khidmat Bantuan Di Rumah (KBDR) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana Adrian dijaga oleh seorang sukarelawan KBDR bernama Abdul Rahman Rosli sejak tahun lepas.

Ini sedikit sebanyak memberi sinar dan meringankan tugasannya dalam menguruskan anak- anak sementara beliau membuat kerja lain.

“Dengan adanya program KBDR atau sukarelawan ini, ianya sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kami sekeluarga. Setiap bulan Abdul Rahman akan datang ke rumah menemani Adrian sama ada menghantar makanan, mengajarnya mencuci pinggan serta aktiviti-aktiviti yang lain.

“Abdul Rahman juga bijak berkomunikasi dan melayan karenah Adrian. Terima kasih kepada JKM di atas bantuan yang disalurkan selama ini. Selain itu, JKM turut memberikan bantuan setiap bulan dalam bentuk kewangan dan keperluan makanan,” katanya.

Abdul Rahman Rosli, sukarelawan JKM di bawah Program KBDR bersama-sama dengan kliennya (Adrian dan Natalie). Foto Febbright James

Seorang lagi penduduk di Rumah Panjang Adin, turut mendapat manfaat daripada program KBDR ini iaitu Minah Sandum, 83, seorang warga emas yang terlantar di katil akibat mengalami komplikasi tulang rapuh selepas terjatuh beberapa tahun yang lalu.

Beliau juga merupakan penghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jangkitan kuman dalam paru-paru, serta strok.

Oleh itu, anaknya, Niki Gandu Tujoh memaklumkan dia berasa lega kerana program ini sedikit sebanyak membantu beliau menguruskan ibunya sementara dirinya menguruskan keperluan keluarga yang lain.

Katanya, sukarelawan yang membantu menguruskan ibunya itu bernama Mohamad Ali Ahmad.

(Dari kiri)Mohamad Ali Ahmad, Niki Gandu, Minah Sandum. Foto Febbright James

“Saya beterima kasih kepada Ali kerana sudi membantu saya menguruskan ibu dengan cara menghantar keperluan seperti lampin, berbual dan menjaganya.

“Dia akan menjenguk ibu setiap kali dia mempunyai waktu lapang iaitu sekurang-kurangnya empat kali dalam sebulan. Ini sudah cukup memadai bagi saya,” katanya.

Katanya, Ali kini bagaikan sebahagian daripada keluarganya kerana hubungan yang akrab dijalin melalui KBDR ini.

Kenali KBDR

Program KBDR merupakan perkhidmatan sokongan sosial yang diberikan oleh sukarelawan JKM kepada klien yang terdiri daripada warga emas dan OKU terutamanya yang tinggal bersendirian atau bersama ahli keluarga yang memerlukan bantuan dan sokongan sosial.

Sukarelawan akan datang ke rumah klien untuk memberi bantuan dan sokongan sosial kepada mereka untuk membantu menjalani kehidupan seharian mereka dengan lebih selesa, rasa dihormati dan tidak merasai diri mereka disisihkan.

Program ini turut menggalakkan klien terus tinggal di kediaman masing-masing dan hidup dalam suasana kekeluargaan dan komuniti.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rosmahwati Ishak. Foto Febbright James

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat,  Rosmahwati Ishak, sukarelawan yang dilantik terdiri daripada warga tempatan kerana mereka lebih mengenali komuniti mereka sendiri.

“Kita dapat menjimatkan proses perkenalan untuk membina hubungan antara mereka. Ini dapat mengurangkan jurang komunikasi dan perbezaan.

“Dengan adanya program, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ini dapat terus tinggal dalam suasana kekeluargaan dan hidup dalam komuniti seperti kebiasaannya tanpa perlu dihantar ke institusi yang disediakan oleh kerajaan mahupun pertubuhan kebajikan.

“Kita mahu mereka kekal bersama dengan ahli keluarga agar mereka tidak rasa tersisih dan ini adalah perkhidmatan yang kita bawakan kepada mereka iaitu berbentuk ‘outreach’ atau mendampingi kumpulan sasar itu sendiri,” katanya kepada TVS.

Setakat ini, mengikut statistik sehingga Ogos 2024, jumlah sukarelawan yang terlibat dalam program ini ialah seramai 2,295 di seluruh negara dengan nisbah seorang sukarelawan untuk empat orang klien seperti termaktub dalam Akta Pusat Jagaan 1992.

Manakala jumlah kesemua klien ialah 8,696 yang terdiri daripada warga emas dan OKU masing-masing berjumlah 6,698 dan 1,998.

“Di Sarawak, sukarelawan yang terlibat adalah ketiga tertinggi dengan jumlah 279 orang sukarelawan yang menyantuni 1,064 penerima khidmat.

“Dengan geografi yang luas, kita akan meningkatkan keperluan dan menambah bilangan sukarelawan dengan mengemukakan permohononan dari segi bajet,” katanya.

Meskipun secara sukarela, namun sukarelawan yang memberi khidmat bantuan dan sokongan tetap diberikan ‘token’ setiap bulan oleh JKM sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka.

‘Daripada komuniti kepada komuniti’

KBDR bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan dan sokongan, tetapi juga membuka peluang kepada komuniti yang ingin berbakti namun tidak pasti saluran yang sesuai.

Berkongsi cerita, Abdul Rahman Rosli (penjaga Adrian) memaklumkan KBDR membuka peluang kepadanya untuk berbakti kepada masyarakat.

Katanya, seorang sukarelawan ditugaskan menjaga empat individu yang mereka panggil sebagai ‘klien’.

Sukarelawan KBDR, Abdul Rahman Rosli. Foto TVS

“Saya berminat untuk menolong orang cuma kadang kala tidak tahu caranya. Kira-kira dua tahun lepas, saya dapat tahu bahawa ada program kebajikan seperti ini jadi dengan minat yang saya ada, saya terus bertanya kepada JKM untuk menyertainya.

“Program ini bagus untuk komuniti tidak kira warga emas, OKU, dan kanak-kanak. Sukarelawan akan membantu klien di bawah jagaan mereka untuk memberi makan, membeli barang keperluan dan mengurus mereka,” ujarnya yang juga bekerja sebagai sukarelawan di Pusat Transit Gelandangan di Sibu.

Jelasnya, memang menjadi satu cabaran dalam menjaga klien yang diamanahkan kepadanya berikutan masing-masing mempunyai karenah tersendiri namun sukarelawan harus mengkaji terlebih dahulu dan mesti bijak berkomunikasi dengan mereka.

Kata Abdul Rahman, usaha ini memerlukan kesabaran dan kejujuran yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Mohamad Ali Ahmad menjadi sukarelawan KBDR yang diamanahkan menjaga Minah Sandum. Foto: TVS

Sementara itu, Mohamad Ali Ahmad yang bekerja sebagai Penjaga Stor di Penjara Sibu memaklumkan beliau akan meluangkan waktu hujung minggunya menyantuni klien yang dijaganya termasuk Minah.

“Saya memang minat menjalankan kerja sebagai sukarelawan kerana saya berasa seronok apabila dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Sebulan sekali saya akan menjenguk minah dan membantu anaknya (Niki Gandu) mengangkat beliau ke tandas untuk menukar lampin dan berbual dengannya agar dia tidak berasa sunyi,” katanya.

Meskipun hanya dua tahun menjaga Minah, namun Ali telah mengganggap Minah sebagai ibunya sendiri.

Lantaran itu, Abdul Rahman dan Rosli menyeru dan mengajak masyarakat dan komuniti setempat untuk turut serta menjadi sukarelawan ini bagi menyokong usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mahu mewujudkan kesejahteraan dan keterjaminan hidup dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menurut mereka, warga emas dan golongan OKU memerlukan perhatian yang lebih dan wajar disantuni agar mereka tidak terasa tersisih. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan