GEORGE TOWN, 24 Sept: Polis menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah jus minuman selepas memberkas seorang lelaki bersama sejumlah dadah bernilai hampir RM600,000 pada operasi di kawasan Jelutong di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi bermula dengan penahanan suspek berusia 26 tahun kira-kira pukul 4.25 petang di satu kawasan tempat letak kereta.
Katanya, polis merampas 11 paket plastik pelbagai warna disyaki dadah jenis serbuk jus 3,4-metilenadioksimetamfetamina (MDMA) seberat 259 gram (g) bernilai RM3,300 dan sepaket lutsinar disyaki dadah ketamin seberat 12 g bernilai RM2,400 bersama suspek.
“Sususlan itu, pada kira-kira pukul 4.50 petang hari sama, polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan jus minuman MDMA dan menemui 1,134 paket plastik pelbagai warna dan 10 balang plastik lutsinar berisi dadah MDMA seberat kira-kira 37.7 kilogram (kg) bernilai RM560,040.
“Turut dirampas, tiga paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 76.8 g bernilai RM15,360, 128 biji pil ekstasi (RM6,400), 10 biji pil Erimin 5 (RM800) dan enam bekas plastik berisi cecair dadah seberat 47.7 g (RM1,800),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, dadah yang dirampas tersebut secara keseluruhannya dianggarkan bernilai RM590,100 dan boleh digunakan oleh kira-kira 9,500 penagih.
Tambah beliau, siasatan turut mendapati sindiket terbabit telah bergiat aktif sejak awal Mac tahun ini.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu mendapati dia positif dadah jenis benzo/ketamin.
“Polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 bernilai RM90,000 yang menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM680,100,” katanya lagi.
Ujar Hamzah, suspek direman selama seminggu sehingga 30 September ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS